Monday, February 16, 2009

MENGANTUKNYE....!!!! APE KATA ISLAM TENTANG TIDUR


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:

"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah :

Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerehatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:

"Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabi pun terus mengeluarkan arahan:

"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur."(Bukhari-Muslim

Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang. Tidur secara yang munasabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa :

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya."Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:

"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.

Saturday, February 14, 2009

PENGANUT AGAMA LAIN PERNAH MENGHARAMKAN "VALENTINE DAY"..... Sebahagian Anak Muda ISLAM Pulak MENGHALALKANNYA !?

Berpandukan fakta dan maklumat, dapat saya simpulkan :

Pertama, perayaan Valentine's Day mempunyai hubungan kepercayaan dengan agama berhala yang memuja patung. Amalan memuja patung dan berhala dalam Islam adalah salah dan berdosa besar. Dosanya tidak diampuni Allah, kecuali dengan taubat yang suci dan bersih.

Kedua, sejarah asal kelahiran perayaan ini dipercayai ada hubungannya dengan kisah dongeng, iaitu seekor binatang ganjil menyusukan datuk bandar Rom, lalu memberi kepadanya kekuatan tenaga dan fikiran. Kepercayaan ini bertentangan akidah Islam yang mempercayai bahawa Allah jua yang memberi kekuatan kepada hamba-Nya.

Ketiga, ucapan perayaan yang dilakukan dengan menyembelih anjing dan kambing, kemudian melumur darahnya kepada badan dua pemuda dan membasuhnya dengan susu, sebelum mereka diarak di tengah-tengah bandar, kemudian mencalit badan siapa jua yang sempat dicalit dengan darah anjing dan kambing adalah suatu amalan kotor dan keji dari segi Islam.

Keempat, ramai penganut Kristian meragui kesahihan St. Valentine mempunyai hubungan dengan amalan pemujaan patung dan berhala. Jika sumber-sumber Kristian meragui kebenarannya, maka orang Islam lebih wajar menolak perayaan itu, kerana ajaran hendaklah berasaskan berita yang sahih dan benar.

Kelima, perayaan ini pernah diharam oleh paderi-paderi Kristian di Itali pada suatu ketika dahulu, dengan alasan ia banyak merosakkan akhlak muda mudi mereka. Umat Islam sepatutnya tidak mengambil apa yang buruk dan diakui keburukan oleh pengamal-pengamalnya sendiri. Sebaliknya mereka disuruh mengambil langkah-langkah mencegah perbuatan seumpama itu, atas nama amar makruf dan nahi mungkar.

Sebagai seorang muslim, mungkin kita bertanya lagi, mengapa perayaan memperingati cinta itu dilarang? Apa salahnya kita bercinta, sedangkan Islam tidak melarang umatnya bercinta dan berkasih sayang antara satu sama lain. Bagi menjawab kekeliruan ini, saya katakan:

1. Perayaan dalam Islam adalah ibadat, ia telah ditentukan cara dan penghayatinya oleh nabi. Dalam sebuah hadis, baginda bersabda: Setiap kaum ada perayaan. Bagi kaum ini (Islam) juga ada hari-hari perayaannya, iaitu Hari Raya fitrah dan Hari Raya korban. (al-Bukhari, Muslim)

2. Kita dilarang keras meniru kaum musyrikin atau penyembah berhala. Sesiapa meniru budaya sesuatu kaum, maka ia tergolong dalam kaum itu. Banyak ayat al-Quran dan hadis melarang amalan meniru, seperti sabdanya: Sesiapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam kaum itu.

3. Percintaan yang dimaksudkan pada Hari Kekasih ini terlalu umum dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Islam memang agama kasih sayang, tolong-menolong dan merangsang supaya bersatu hati, tetapi hendaklah berjalan di bawah payung imam dan takwa.

Berpandukan alasan-alasan tersebut di atas, ulama Islam sepakat memfatwakan haram bagi masyarakat Islam ikut serta merayakan Hari Kekasih, menyambut ucapan dan melakukan perbuatan yang menjadi syiar hari itu, seperti menghadiah bunga ros, meniup belon merah, memakai blaus merah dan sebagainya. Antara ulama yang memfatwakan haram menyertai perayaan ini ialah Dr. Saud Salleh dari Universiti Azhar, Syeikh Uthaimin dari Majlis Fatwa Saudi Arabia, Syeikh Jabrin dan lain-lain.
Saya sangat cenderung kepada fatwa mereka, kerana budaya Melayu dan agama Islam sudah cukup bagi mengeratkan hubungan kasih sayang dan tolong-menolong sesama manusia. Nama Hari Kekasih atau dalam istilah asalnya Valentine's Day cukup menggambarkan bahawa perayaan ini terasing daripada budaya Islam.

Ibu bapa yang beragama Islam seharusnya tidak memberi kerjasama kepada anak-anak remaja mereka ikut serta dalam perayaan ini. Mungkin imam-imam masjid juga dapat membantu menyebarkan kefahaman yang betul menerusi khutbah-khutbah Jumaat dan ceramah-ceramah agama, sebelum budaya ini membesar dalam masyarakat ini.