Monday, October 13, 2008

JENGOK-JENGOK ANAK DIDIK KITA....

Masyarakat kini perlu mencari alternatif yang terbaik untuk menangani masalah jenayah yang kian bertambah. Peristiwa yang berlaku baru-baru ini menjadi igauan buruk ke atas setiap ibubapa apabila memikirkan keselamatan anak-anak mereka. Anak-anak tidak lagi boleh dibiarkan berseorangan walaupun ke kedai yang berhampiran. Ibubapa tidak senang hati bekerja di pejabat apabila teringatkan anak-anak yang tinggal di rumah bersama pengasuh mereka menjalani rutin harian seperti ke sekolah, tiusyen, mengaji, sekolah agama, aktiviti ko-kurikulum dan lain-lain lagi.


Mengapa kita perlu hadapi situasi ini? Sudah menjadi kelaziman bagi beberapa pihak untuk mencari punca-punca permasalahan yang wujud. Maka lahirlah amalan menuding jari kepada pihak-pihak lain dalam menghuraikan kekusutan yang timbul. Pihak kerajaan mencuba berbagai pendekatan hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik atau agensi-agensi yang berkaitan. Namun masalah jenayah kejam ini masih berlanjutan. Di manakah silapnya? Institusi yang memainkan peranan yang aktif dalam membentuk akhlak dan tingkahlaku remaja ialah pendidikan. Pada pandangan saya, perkara pokok yang perlu diberi penekanan dalam membicarakan masalah jenayah ini ialah didikan agama. Malah saya rasa ramai lagi yang menyokong hujah ini. Persoalannya sekarang ialah bagaimana untuk melaksanakannya? Kementerian Pendidikan diharapkan dapat menambah waktu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Kalau masih tidak mencukupi, kelas agama di sebelah petang samada KAFA atau Sekolah Agama Rakyat perlu diperluaskan. Sekiranya tidak mendatangkan masalah, sekolah agama dijalankan di bangunan sekolah pada waktu petang bagi menjimatkan kos membina bangunan baru. Sukatan pelajaran sebaiknya diselaraskan bagi mencakupi semua pengetahuan yang perlu bagi pemantapan iman kepada pelajar. Sistem persekolahan agama ini perlu dimurnikan lagi supaya ibu bapa menaruh kepercayaan terhadap pendidikan agama yang diberikan.


Pemantauan daripada nazir boleh mengelakkan ustaz atau ustazah daripada menyalahgunakan pengetahuan yang mereka berikan kepada unsur-unsur yang bertentangan dengan aspirasi kerajaan. Apabila ilmu agama meresapi jiwa anak-anak muda ini, maka remaja kita akan dapat menilai serta mengawal nafsu mereka ke arah tingkahlaku yang dibenarkan oleh Islam. Bagaimanapun kawalan dari sumber-sumber lain yang boleh merosakkan akhlak juga perlu diambil kira. Satu persoalan lagi ialah penggunaan rotan sebagai hukuman kepada pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Para guru sekarang takut untuk merotan pelajar yang membuat bising atau yang menggangu sesi pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah kerana khuatir tindakan yang menanti mereka sekiranya perkara ini dibawa ke muka pengadilan. Kesannya pelajar sudah berani mencabar guru. Malahan bukan perkara yang pelik lagi sekiranya sekarang ini pelajar tidak menghormati guru atau orang yang lebih tua dari mereka. Tanpa segan silu mereka menghisap rokok, mengusik remaja perempuan dan bergaduh di khalayak ramai. Sekiranya ditegur, mereka akan melenting dan mengugut untuk bertindakbalas. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku kepada masyarakat kita apabila mereka meningkat dewasa?

Monday, October 6, 2008

ANTARA SABAR DAN MENGELUH

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

SANGGUP MENAHAN LAPAR

Seorang telah datang menemui Rasulullah S.A.W dan telah menceritakan kepada baginda tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu baginda tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri baginda mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu. Baginda kemudian bertanya kepada para sahabat, "Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku ?"
Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah S.A.W, saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."

Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah S.A.W. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita."
Lalu isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?"

Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak akan ketahui bahwa saya tidak makan bersama-samanya."
Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang. Berikutan dengan peristiwa itu, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud, "Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." (Al-Hasy : 9)